Felda akan bina 20,000 rumah bernilai RM1.5b-bajet 2013

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Felda akan menyiapkan projek perumahan generasi baharu sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas tanah seluas 2,023.4 hektar (5,000 ekar) dalam kawasannya, membabitkan belanja RM1.5 bilion.

Ini antara program yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi, sebagai menyokong usaha kerajaan merancakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, selain itu Felda juga memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan, di samping berbelanja RM100 juta setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5,000 anak generasi baharu.

Menurutnya, 30 peratus atau 2,000 orang daripada jumlah itu terdiri daripada anak-anak dari luar Felda.

“Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui CSR,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Yayasan 1MDB 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar prasekolah di pedalaman Sarawak, klinik bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.

Yayasan 1MDB ditubuhkan pada Januari 2010 bagi menguruskan dana CSR khusus bagi melancarkan beberapa inisiatif utama dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi, ke arah memenuhi nilai-nilai aspirasi 1Malaysia.

Antara inisiatif utama syarikat pembangunan strategik utama dipacu pasaran bagi membantu mengubah Malaysia menjadi ekonomi maju, yang kompetitif, inklusif dan berkekalan itu ialah, menggalakkan peluang sama rata kepada pendidikan dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC pula akan memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran. – BERNAMA

Sumber: Utusan Online

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *