Felda bina 20,000 rumah generasi kedua

TANJUNG MALIM 6 Okt.
– Felda akan memulakan pembinaan 20,000 unit rumah untuk generasi baharu yang berharga dalam lingkungan RM70,000 seunit pada tahun ini setelah mendapat kelulusan pinjaman bank berjumlah RM380 juta.

Mohd. Isa
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, ba­nyak syarikat telah menawarkan diri untuk membina rumah tersebut, namun ketetapan itu bakal diputuskan oleh pihak pengurusan Felda setelah beberapa model rumah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, Felda akan membina sejumlah 20,000 unit seperti yang telah diumumkan dua tahun lalu dan setakat ini kira-kira 9,000 unit diluluskan dalam pelbagai peringkat, namun diberhentikan sementara waktu kerana ketika ini menggunakan duit Felda.
“Apabila pinjaman bank sudah diterima, maka kita akan teruskan. Pada awalnya, dijual pada harga RM90,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi. Namun, ada dalam kalangan anak-anak kita hendak lebih murah, jadi, Perdana Menteri memahaminya lalu mengarahkan Felda supaya membina rumah pada harga RM70,000.
“Kita hendak menyiapkannya secepat mungkin. Kalau boleh pada tahun 2018, ke­semua 20,000 unit rumah itu siap. Kalau tidak sampai 20,000, belasan ribu rumah harus siap tetapi yang selebihnya mesti dalam peringkat pembinaan. Tidak ada yang baru hendak mula dibina ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Semai Bakti Felda Sungai Behrang di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib.
Menurut Mohd. Isa, lokasi tapak perumahan baharu itu telah dikenal pasti, namun pencarian kawasan lebih sesuai turut dilakukan dengan mengambil kemudahan infrastruktur setempat.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Isa berkata, generasi baharu Felda yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai penyata gaji akan dibantu dengan konsep sewa beli.
“Mereka boleh sewa dahulu sehingga lima tahun dan sekiranya mereka melunaskan pembayaran secara efisien, kita mungkin akan memberi diskaun atau subsidi bagi memudahkan lagi pembelian rumah tersebut,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/felda-bina-20-000-rumah-generasi-kedua-1.143785#sthash.bFzdAApc.dpuf

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *