GLC perlu bina rumah mampu milik di ibu kota – Johari

KUALA LUMPUR:
Kerajaan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan hartanah seperti UDA Holdings Bhd (UDA) membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik untuk menampung keperluan golongan berpendapatan rendah yang tinggal di Kuala Lumpur. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani, berkata walaupun kerajaan tidak dapat memberikan sokongan kewangan kepada GLC, mereka harus menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk mengimbangi pembangunan di kawasan ibu kota. “UDA perlu kekal berdaya saing dari segi ekonomi dalam pembangunan hartanah serta mengekalkan kedudukannya sebagai pemaju dan syarikat pengurusan aset utama dalam industri yang semakin pesat membangun ini. “Dengan keuntungan yang diperoleh, ini boleh disalurkan untuk membantu kerajaan membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dan dalam masa yang sama membeli tanah yang belum dimajukan atau simpanan tanah bagi pembangunan masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Anggun Residences, projek pangsapuri berperkhidmatan mewah oleh UDA, di sini, hari ini. Bagaimanapun, Johari berkata tanah yang ditawarkan oleh GLC dan syarikat untuk membina perumahan awam perlu terletak di kawasan pusat bandar yang mempunyai pengangkutan awam. “Ini adalah masalah utama yang dihadapi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) kerana kebanyakan simpanan tanah yang diberikan jauh dari pusat bandar seperti di Semenyih, Kajang dan sebagainya. “Justeru, kami akan terus bekerjasama dengan pemaju untuk memastikan kami dapat mencapai objektif membantu golongan berpendapatan rendah tinggal dan bekerja dengan selesa di sini,” katanya. Ditanya mengenai Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini, Johari berkata ia berjalan lancar namun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut. Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan UDA Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, Anggun Residences yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur mempunyai nilai pembangunan kasar RM400 juta. Pangsapuri berperkhidmatan dengan 384 unit itu akan menawarkan pelbagai reka bentuk terdiri daripada rumah studio, satu bilik tidur, dua bilik tidur, 2+1 bilik tidur dan 3+1 bilik tidur yang disertakan dengan kemudahan awam serta ruang parkir. Projek pangsapuri 29 tingkat berdekatan Jalan Sultan Ismail itu yang dibina di kawasan seluas 0.34 hektar di plot tanah 1.82 hektar milik UDA, dijangka siap pada 2017. “Memandangkan situasi pasaran yang sukar, kami percaya projek ini akan berjaya kerana ia berbaloi untuk dibeli dengan keluasan binaan daripada 657 hingga 1,535 kaki persegi. “Berbanding dengan hartanah mewah lain di kawasan itu, Anggun Residences berharga antara RM1,300 dan RM1,400 sekaki persegi, harga yang kompetitif memandangkan lokasi utama pembangunan itu,” katanya. Syarikat itu yang memiliki nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 hingga RM800 juta setahun, dijangka menjadi antara 10 pemaju utama di negara ini menjelang 2018. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86112

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Page not found - Sweet Captcha
Error 404

It look like the page you're looking for doesn't exist, sorry

Search stories by typing keyword and hit enter to begin searching.