Harga rumah baru meningkat 20 peratus-Sept 2011

Harga rumah baru meningkat 20 peratus

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Harga kediaman yang bakal dilancarkan pada separuh kedua 2011 dijangka meningkat sebanyak 20 peratus, menurut kaji selidik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Presidennya, Datuk Seri Michael K.C. Yam berkata, peningkatan tersebut adalah disebabkan peningkatan harga bahan mentah binaan serta kekurangan tenaga kerja.

”Perkara tersebut tidak membantu pemaju hartanah kerana melalui kaji selidik tersebut kami dapati kebanyakan pembeli mencari rumah murah walaupun di kawasan bandar yang tanahnya kurang dan kos adalah tinggi.

”Ia meletakkan pemaju hartanah dalam keadaan sukar untuk mengehadkan kos untuk memenuhi permintaan pasaran dan pada masa yang sama menguruskan kenaikan kos bahan mentah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi hartanah pada separuh pertama tahun ini dan tinjauan hadapan bagi separuh kedua 2011 serta awal 2012, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Rehda Cawangan Kuala Lumpur, NK Tong dan Ketua Ekonomi RAM Holdings Bhd. (RAM), Dr. Yeah Kim Leng.

Tambah Yam, 47 peratus responden merancang untuk menaikkan harga rumah yang bakal dilancarkan syarikat mereka.

”Bagi separuh kedua tahun ini, 61 peratus responden merancang melancarkan projek pembangunan hartanah mereka yang menunjukkan sentimen positif dengan purata 150 buah kediaman akan dibina untuk setiap pemaju.

”Melalui kaji selidik itu juga, ahli-ahli kami lebih memahami pasaran mereka dan telah berjaya mentafsirkan tempahan diterima kepada jualan,” jelasnya.

Beliau berkata, pasaran hartanah tempatan masih lagi bergantung kepada pasaran domestik berbanding pembeli asing yang hanya sebanyak empat peratus.

Sementara itu, kajian itu mendedahkan, Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan kerajaan pada Mac lalu, masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana ketiadaan mekanisme dan ramai tidak mempunyai maklumat lanjut, kadar faedah tinggi serta kesukaran mendapatkan pinjaman.

Secara keseluruhannya, bagi 2012, Yam berkata, pasaran hartanah negara adalah optimistik tetapi dijangka berhati-hati kerana mungkin berlaku perubahan polisi yang bakal diumumkan pada pembentangan Bajet 2012 nanti.

<<Utusan Online>>

 

Speak Your Mind

*

Powered by sweet Captcha