Kementerian Kewangan Nafi Bahagian Pinjaman Perumahan Akan Dimansuhkan

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) — Kementerian Kewangan hari ini menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) akan dimansuhkan adalah sama sekali tidak benar.

“Kerajaan bercadang untuk menjadikan BPP sebagai sebuah Badan Berkanun (BB) dan mengekalkan faedah sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini,” kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pada masa ini, BPP dan perunding yang dilantik bagi proses pemerbadanan itu sedang menyediakan Rang Undang-undang (RUU) penubuhan BB berkenaan dan Skim Saraan baru bagi kakitangan BB tersebut.

Penjawat awam yang memilih untuk menyertai skim ini kelak dijangka menikmati beberapa faedah sebagaimana yang dinikmati oleh lain-lain agensi yang telah diperbadankan, katanya.

Antaranya faedahnya ialah tangga gaji yang lebih tinggi di samping faedah-faedah lain yang tidak diterima semasa berada dalam skim sedia ada.

“Kepada penjawat awam, kerajaan memberi jaminan pengurusan pinjaman perumahan di bawah BB tidak akan merugikan mereka,” kata Mohd Irwan.

“Syarat-syarat pinjaman perumahan masih dikekalkan sebagaimana yang dinikmati mereka pada masa kini. Malahan sebagai peminjam, penjawat awam akan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” tambahnya lagi.

— BERNAMA

Posted in Semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *