Kerajaan Negeri Terengganu akan membina 10,000 unit lagi rumah mampu milik

KUALA NERUS:
Kerajaan Negeri Terengganu akan membina 10,000 unit lagi rumah mampu milik selepas selesai mengagihkan 7,986 unit rumah mampu milik sedia ada yang dibina secara berperingkat sejak 2009. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri menjangka semua rumah itu dapat disiapkan sebelum tahun 2018. “Sehingga Julai tahun lalu, sebanyak 56,691 permohonan baru diterima dari seluruh negeri itu. “Kerajaan sedang mengkaji kawasan kritikal yang memerlukan rumah dan kita akan bina mengikut keperluan kawasan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah mampu milik Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kepada pasangan suami isteri Mohd Nor Said, 53, dan Khotijah Harun, 53, di Kampung Tok Jembal di sini. Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di tiga kawasan membabitkan 777 unit. Tiga kawasan itu ialah Tok Jembal yang akan dibina dengan 305 unit rumah untuk kakitangan kerajaan, Kuala Ping di Hulu Terengganu (230 unit) dan Santong di Paka (242 unit). “Kita berharap projek pembinaan rumah yang dirancang itu dapat memenuhi keperluan rumah rakyat Terengganu,” katanya. Sementara itu, Khotijah berkata sebelum ini, beliau menyewa di sebuah rumah di Tok Jiring dekat bayaran RM200 sebulan. Rumah setingkat dengan tiga bilik tidur itu dibina secara gotong-royong oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Air Terengganu dalam tempoh tiga bulan. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/85466

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *