Nilai tanah tinggi punca rumah mahal

KUALA LUMPUR Sept.2015 –

Kenaikan harga rumah kediaman dan komersial bukan berpunca daripada kos bahan binaan, sebaliknya disebabkan nilai tanah yang semakin meningkat di sesetengah kawasan.
Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, harga tanah memainkan peranan utama yang menyumbang kepada pelarasan nilai bagi sesebuah projek perumahan dan setiap unit rumah yang dibangunkan.
Menurut beliau, harga tanah akan terus meningkat apabila sesebuah kawasan itu dibangunkan menjadi kawasan komersial sehingga menjadi tumpuan aktiviti perniagaan serta perdagangan.
Jelasnya, dengan pertambahan penduduk Malaysia kepada 30 juta orang menjelang tahun 2020, permintaan terhadap rumah kediaman juga akan meningkat dengan purata isi rumah sekurang-kurangnya empat orang bagi setiap rumah.
“Apabila banyak kawasan luar bandar mula mendapat transformasi menjadi kawasan lebih maju dan berkembang, ia akan memberi impak yang positif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial tetapi harga tanah akan terus melonjak.
“Selain itu, kita juga boleh lihat kawasan bandar menghadapi cabaran paling besar yang mana pemilikan rumah adalah pada kadar 69 peratus berbanding 72.5 peratus di seluruh Malaysia. Pemilikan perumahan di Kuala Lumpur adalah 53.5 peratus berdasarkan banci penduduk dan perumahan 2010,” katanya ketika berucap dalam Forum Perumahan MEA 2015 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim; Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Murali Jayabalan; Pengarah Standard Chartered, Datuk Seri Michael K. C. Yam; Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong dan Pengarah Penyelidikan KRI, Dr. Suraya Ismail.
Tambah Charon, walaupun proses urbanisasi baik, namun pelbagai mekanisme perlu dilakukan agar rumah mampu milik dapat dimiliki oleh semua golongan terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan pertengahan.
Sebelum ini, KRI dalam laporannya menyatakan median harga kediaman di negara ini ialah RM242,000 berbanding pendapatan bulanan RM4,585 dan tahunan RM55,020. Harga kediaman di Kuala Lumpur yang mendapat skor 5.4 jauh lebih tinggi iaitu RM490,000 de­ngan median pendapatan bulanan RM7,620 dan tahunan RM91,440, iaitu di atas paras ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal.’
Berada dalam kelompok sama ialah Kuala Terengganu (skor 5.5) iaitu RM250,000 berban­ding median pendapatan tahunan RM45,324; Pulau Pinang 5.2 (rumah RM295,000, pendapatan tahunan RM56,424) dan Sabah 5.1 (rumah RM230,000, pendapatan tahunan RM44,940).
Kajian itu membahagikan ne­geri-negeri kepada empat kelompok mampu milik iaitu skor 3 ke bawah sebagai mampu, 3.1 hingga 4 (sederhana), 4.1 hingga 5 (sangat tidak mampu), 5.1 ke atas (sangat-sangat tidak mampu).
Laporan terbabit juga mencadangkan perubahan fokus dalam polisi perumahan daripada inisiatif yang dipacu oleh permintaan bagi memperbaiki ketidakcekapan dalam bekalan perumahan.

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *