SPNB beli rumah untuk rakyat

PUTRAJAYA 27 Sept. – Hasrat golongan pertengahan dan bawahan memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membeli rumah secara pukal daripada mana-mana pemaju perumahan sebelum dijual semula pada harga ditetapkan oleh kerajaan.
Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron (gambar) berkata, menerusi kaedah tersebut harga jualan rumah dapat dikurangkan berbanding harga pasaran semasa yang kini mengalami kenaikan mendadak sehingga menyukarkan golongan terbabit membeli rumah.
”Walaupun tindakan ini dilihat merugikan SPNB tetapi sebagai syarikat milik kerajaan kami melakukan tanggungjawab sosial meringankan beban rakyat dalam membantu mereka memiliki rumah.
”Sejak 1997, SPNB sebenarnya telah memainkan peranan utama dalam memberi nafas baru kepada projek-projek perumahan terbengkalai dan membina perumahan untuk semua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, sudah sampai masanya untuk SPNB memainkan satu lagi peranan sebagai pembeli rumah secara pukal bagi mana-mana projek perumahan berdaya maju di seluruh negara sebelum menjualnya pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
SPNB yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, SPNB juga dapat menjimatkan masa, tenaga dan sumber berbanding dengan menggunakan peruntukan yang disalurkan itu untuk membina rumah.
”Bayangkan sekiranya SPNB mempunyai peranan yang sedemikian, sudah pasti syarikat itu dapat mempengaruhi dari segi harga, pakej pinjaman yang menarik dan sebagainya.
”SPNB boleh jual semula rumah pada harga mampu milik dan dengan cara itu objektif untuk meringankan beban rakyat dapat dicapai walaupun dengan cara yang berbeza malah lebih efektif,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak mengawal harga tanah dan pengeluaran bahan pembinaan kerana kedua-duanya mempengaruhi harga rumah.

Sumber: Utusan Online

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *