KUALA TERENGGANU 5 Dis. – Satu lagi khabar menggembirakan untuk rakyat negeri ini apabila kerajaan negeri mengumumkan penyediaan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan buat permulaan dalam usaha memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah yang mereka idamkan.
Skim berasaskan syariah yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat pinjamannya itu akan membolehkan setiap pemohon meminjam sehingga RM50,000.
“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa Ucapan Bajet 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Katanya, kemudahan itu disediakan setelah mengambil kira rakyat yang memiliki tanah tetapi tidak berkemampuan membina rumah di atas tapak berkenaan.
”Ini kerana mereka tidak boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan disebabkan tidak ada berpendapatan tetap.
”Bagi membantu golongan terbabit yang bakal memenuhi syarat yang ditetapkan kelak, kerajaan negeri setuju diadakan dana pinjaman,” ujarnya.
Ia merupakan pendekatan terbaharu kerajaan negeri selain meneruskan program pembangunan perumahan yang menjadi agenda utama memastikan kesejahteraan hidup rakyat.
Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun mulai 2008 dan sehingga kini 23 projek rumah kos rumah dan rumah mampu milik melibatkan 6,737 unit telah dilaksanakan dengan kos RM659.73 juta.
”Pada tahun depan, RM80 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek-projek sambungan dan memulakan pelaksanaan tujuh projek yang melibatkan pembinaan 2,277 unit rumah,” ujarnya.
Sumber [utusan online]
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu hari ini meluluskan dana pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta untuk rakyat negeri ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 untuk membina rumah sendiri.
Keputusan menyediakan kemudahan pinjaman yang boleh mencecah sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan itu sebelum ini diluluskan dalam ucapan Bajet 2012 pada Disember lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata petang ini, mereka yang masih tidak memiliki rumah sendiri wajar memohon pinjaman ini.
Selain kemudahan pinjaman yang mengenakan syarat utama hanya kepada pemohon yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemohon juga perlu membina sendiri rumah berkenaan di atas tanah milik pemohon berdasarkan geran hak milik.
Katanya, pemohon perlu mencagarkan geran itu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC) bagi memastikan pemohon tidak mengingkari syarat tempoh bayaran balik pinjaman itu.
“Terpulang kepada pemohon berapa jumlah yang mereka mahu pohon, bagaimanapun kita akan beri sehingga tahap maksimum RM50,000 bagi setiap pinjaman, selain tanah perlu dicagar kepada kita melalui SEDC.
“Kalau tidak beri cagaran, jika kita luluskan pinjaman RM50,000, mereka tidak bayar, habislah kita..(cagaran) sebagai perlindungan kepada kerajaan,” katanya.
Kertas cadangan mengenai pinjaman perumahan ini akan dibawa kepada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan April nanti yang dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Acara Kewangan Negeri.
“Ia bagi membolehkan kita mewujudkan tabung amanah ini,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Kerajaan negeri akan mengeluarkan syarat bagi memohon pinjaman itu secara terperinci sebaik sahaja Mesyuarat DUN meluluskan perkara itu nanti.
Berita gembira ini wajar disambut baik oleh rakyat Terengganu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan difahamkan Terengganu satu-satunya yang menyediakan pinjaman perumahan seperti ini.
Sumber [teganuku.blogspot.com]